Pemuda Pas Selangor desak Anwar berehat, fokus kes mahkamah

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas bagi memberi fokus terhadap perbicaraan yang sedang dihadapinya bagi membersihkan namanya.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, desakan itu bertujuan memastikan proses perbicaraan di mahkamah dapat berlangsung secara adil tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.

Menurutnya, Anwar perlu memberi laluan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk memikul tanggungjawab mentadbir negara agar kelangsungan pentadbiran dapat diteruskan dengan lancar sehingga kes itu diselesaikan.

“Mungkin Timbalan Perdana Menteri 1 difikirkan sesuai, memandangkan beliau sudah tidak runsing dengan 47 kes yang menghantuinya selama ini.

“Malah, rakyat mengikuti dengan rapat keputusan mahkamah ini. Sewajarnya Anwar menyedari bahawa beliau juga tidak terkecuali daripada prinsip kedaulatan undang-undang.

“Beliau juga seharusnya menunjukkan teladan sebagai pemimpin reformasi dengan tidak takut untuk berdepan secara anak jantan terhadap saman yang dikemukakan bekas pembantunya, Yusoff Rawther,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman sivil termasuk yang difailkan Yusoff.

Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada, mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri turut mempersoalkan ketiadaan penjelasan yang konsisten dan tuntas daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Beliau seharusnya berani berdepan dan menyatakan kebenaran. Mengapa sehingga kini masih tiada penjelasan konsisten dan menyeluruh?

“Malah, beliau dilihat cuba mencari alasan untuk mengelak. Sikap acuh tak acuh seperti ini memperkuatkan lagi spekulasi masyarakat awam bahawa beliau memang terlibat dengan amalan songsang luar tabii,” ujarnya.