AMK fokus PRN Sabah, umum lantikan jawatan utama

SHAH ALAM – Biro Politik Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberi fokus utama kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam mesyuarat sulung sesi kepimpinan 2025-2028 yang diadakan pada 26 Mei lalu.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan pelbagai isu termasuk hala tuju dasar AMK pasca pemilihan, khususnya berkaitan pembangunan anak muda serta agenda reformasi institusi dan pentadbiran negara.

Menurut kenyataan AMK, satu pertemuan bersama Ketua-Ketua AMK Cabang Sabah turut diadakan dan telah dipengerusikan sendiri oleh Ketua AMK, Kamil Munim serta dihadiri Timbalan Ketua, Izuan Kasim dan barisan Naib Ketua.

**media[3155419]**

"Fokus AMK ketika ini adalah kepada persiapan jentera, strategi dan pengukuhan sokongan di peringkat akar umbi menjelang PRN Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat," kata kenyataan itu.

Bagi memastikan kesinambungan gerak kerja parti, Biro Politik AMK turut memutuskan untuk mengisi beberapa jawatan utama secara interim sebelum pelantikan penuh kepimpinan AMK sesi 2025-2028 diumumkan.

Antara individu yang dilantik ialah:

Pengarah Pilihan Raya – Izuan Kasim

Setiausaha – Omar Mokhtar A Manap

Bendahari – Hilmy Yakap

Ketua AMK Sabah – Zaidi Jatil

Timbalan Ketua AMK Sabah – Vincent Fung (yang turut menjalankan tanggungjawab sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya AMK Sabah)

Kesemua pelantikan ini akan berkuat kuasa sehingga Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK diadakan bagi melantik barisan kepimpinan secara rasmi dalam masa terdekat.