SHAH ALAM – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, membidas tindakan peguam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon imuniti undang-undang bagi pihak seorang Perdana Menteri daripada tindakan saman sivil.
Menurut Rais, permohonan seperti itu amat ganjil dan mengejutkan kerana tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam sejarah kehakiman negara.
“Minta kekebalan atau imuniti daripada proses undang-undang Malaysia bagi pihak seorang Perdana Menteri adalah paling ganjil dan mengejutkan. Permohonan sebegini tidak pernah dilakukan.
“Hairan, dari mana nas perundangan yang digunakan oleh peguam beliau? Perdana Menteri tidak mempunyai imuniti daripada saman sivil atau jenayah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Rais merujuk kepada kes saman sivil melibatkan Muhammed Yusoff Rawther terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual pada 2018.
Menurut Rais lagi, dakwaan terhadap Anwar berlaku sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, justeru tiada alasan untuk menggunakan sebarang perlindungan khas.
“Kes ini berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri, ketika itu beliau hanya insan biasa. Jadi kini, lawanlah sebagai insan biasa, tanpa apa-apa perisai khayalan.
“Bukankah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang? Para Tuanku Sultan dan Yang di-Pertuan Agong pun boleh disaman sejak 1994, jika mendapat kelulusan Peguam Negara (mengikut Perkara 182 Perlembagaan),” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Peguam Negara tidak mempunyai lunas undang-undang untuk campur tangan dalam kes sivil seperti yang difailkan oleh Yusoff Rawther.
“Saudara Anwar... lawan, tunjuklah keberanian seperti yang dikenali selama ini. Itu barulah Madani,” sindirnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Anwar telah mengemukakan permohonan luar biasa untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau berhak mendapat imuniti dalam kes saman sivil tersebut.
Permohonan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar perlembagaan, dengan majoriti menyatakan bahawa kekebalan hanya terpakai kepada Raja-Raja Melayu, bukannya pemimpin eksekutif seperti Perdana Menteri.