'Nurul Izzah perlu tinggalkan drama politik' – Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU- Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegur Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar susulan kenyataannya yang mahu meneruskan dasar dan idea dikaitkan dengan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menerusi muat naik di Facebooknya, Mohd Puad mempersoalkan apakah gagasan besar yang pernah diketengahkan oleh Rafizi sehingga perlu dipertahankan secara terbuka.

“Nurul Izzah kata dasar dan idea Rafizi akan diteruskan. Saya tanya Nurul Izzah apa dia idea Rafizi yang bagus sangat untuk rakyat atau negara? PADU? Turun harga kereta?”," katanya pada Jumaat.

Speaker DUN Johor itu turut menggesa Nurul Izzah agar menjelaskan secara lebih spesifik apakah gagasan Rafizi yang benar-benar mengubah wacana negara, khususnya dalam aspek tadbir urus dan keadilan ekonomi.

“Izzah perlu lebih spesifik apa dia gagasan Rafizi yang telah mengubah wacana negara? Beri satu contoh khususnya dalam tadbir urus dan keadilan ekonomi.”

Jelas Mohd Puad, sudah tiba masanya pemimpin politik berhenti bersikap hipokrit dan berpijak pada realiti.

“Jangan hipokrit. Saya setuju dengan Nazri Aziz. Tidak perlu pujuk macam Rafizi itu bagus sangat. Kurangkan drama politik.

“Cakap sahaja bahawa Rafizi tidak diperlukan sebab itu kamu lawan dia. Beritahu Presiden ganti segera Rafizi dan Nik Nazmi. Ganti dengan yang lebih bagus. ‘Move forward and move fast’.”

Sebelum itu, menerusi satu perkongsian di Facebook pada Rabu, Nurul Izzah berkata idea dan ilham Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan dilupakan, sebaliknya akan diteruskan dan diperhalusi untuk dimanfaatkan demi kebaikan negara.

Nurul Izzah percaya bahawa Rafizi masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberikan, sama ada beliau berada dalam kerajaan atau tidak.