KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu akan menggerakkan jenteranya ke tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung September depan.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, tujuh DUN yang telah diamanahkan kepada mereka adalah Sulabayan, Senallang dan Bugaya di Parlimen Semporna serta DUN Tungku, Segama, Silam dan Kunak di Parlimen Lahad Datu.
“Walaupun DUN Sabah masih belum dibubarkan, kita telah bersiap sedia sepenuhnya. UMNO negeri telah menerima mandat daripada Presiden parti untuk membantu jentera UMNO Sabah di dua kawasan Parlimen utama iaitu Lahad Datu dan Semporna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan UMNO Negeri di sini pada Khamis.
Menurut Rozi, peringkat awal menyaksikan tiga petugas sepenuh masa akan dihantar bagi membantu persiapan PRN, sebelum bilangan itu ditambah mengikut keperluan dan beban tugas di kawasan bertanding.
“Kita sudah latih dan susun jentera daripada semua sayap parti termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri. Jumlah akhir bergantung kepada kawasan, jika DUN itu kategori berat, kita akan tambah jentera. Jika ringan, kita susun ikut keperluan,” katanya.
Tambah beliau, UMNO Terengganu bersikap terbuka dan bersedia sepenuhnya membantu demi kemenangan parti di Sabah.
“Kita tidak menetapkan jumlah khusus kerana ia bergantung kepada situasi semasa selepas pembubaran DUN. Yang penting, kita sudah bersedia awal,” katanya lagi.
Mengulas pertukaran Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Rozi berkata, ia tidak menjejaskan fokus UMNO kerana perkara itu di bawah bidang kuasa kementerian serta tidak wajar dijadikan isu politik.
"Saya tiada komen kerana itu keputusan pihak kementerian. Ia dibuat atas pertimbangan tertentu yang kita sendiri tidak perlu pertikaikan.
"Bagi saya, apa yang penting adalah kerja membangunkan UMNO. Kita tidak kejar jawatan. Kalau fikir soal jawatan, dari dulu lagi kita dah ‘mengamuk’,” katanya secara berseloroh.
Rozi menjelaskan bahawa lantikan politik dalam agensi kerajaan seperti Ketengah adalah normal dan tidak perlu digembar-gemburkan kerana ia sebahagian daripada proses pentadbiran biasa.
"Datuk Seri Ahmad Said (pengerusi sebelum ini) pun sudah tamat tempoh lantikan. Perkara ini berlaku di seluruh negara termasuk di agensi seperti Kejora (Lembaga Kemajuan Johor Tenggara). Kita faham, ada tempoh dan ada penggantian.
"Cuma di Terengganu, isu ini sengaja diperbesarkan, kononnya masuk orang luar dan sebagainya. Itu cuma mainan persepsi. Lantikan pun sementara. Tak perlu kecoh," katanya.
Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar telah dilantik sebagai Pengerusi Ketengah baharu menggantikan Ahmad.