PUTRAJAYA - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan sudah mempunyai perancangan sebaik sahaja cutinya tamat pada 17 Jun depan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu enggan mengulas lanjut mengenai perancangannya selepas ini, sebaliknya akan berkongsi apabila tiba masanya.
“Saya memang dah 'plan' apa nak tumpu selepas ini, tapi biarlah semua orang tenang, (sambut Hari) Raya Haji dan sebagainya.
“Apa-apa saya kongsi kemudian,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.
Rafizi pada Rabu mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Bermula hari sama juga beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 16 Jun depan.
Selepas pengumuman peletakan jawatan Rafizi itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengikut jejak sama berkuat kuasa 4 Julai ini.
Susulan itu, Anwar dilaporkan telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, setelah meneliti perkara itu, Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti mereka.
Rafizi berkata, sepanjang tempoh cuti, beliau mengambil peluang untuk membalas mesej selain turut serta dalam perbualan di media sosial.
"Saya dah mula cuti hari Rabu, misi sekarang nak balas beribu-ribu mesej dan sertai sembang dekat X,” jelas Rafizi.
Beliau menegaskan, kepercayaan terhadap potensi rakyat Malaysia merupakan tonggak utama pembangunan negara.
“Potensi sebenar negara adalah rakyat biasa. Kita perlu manfaatkan potensi ini," katanya.
Sementara itu di ruangan komentar, Rafizi turut diminta untuk mewujudkan akaun khas untuk kucing peliharaannya namun beliau berkata ia mustahil untuk dilaksanakan kerana sukar mengambil gambar dan video kucing.
Selain itu, pengguna media sosial turut menyarankan agar Rafizi mengemas kini berkaitan usaha penurunan berat badan.
Bagaimanapun Rafizi membalas komen itu dengan menyatakan perjalanan penurunan berat badan adalah sulit.