JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh digesa lebih menghayati dan menyanjung semangat perpaduan dalam konteks kerjasama politik menerusi Kerajaan Perpaduan.
Gesaan itu disuarakan Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda susulan kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain yang menyeru agar sebarang perbincangan kerjasama politik diadakan secara tertib dan matang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
“Saya sarankan agar Mohammad Aswad dapat menyampaikan nasihat ini kepada Akmal sendiri supaya lebih menyanjungi semangat perpaduan dan kerjasama sebagai rakan sepasukan.
“Saya percaya bahawa dengan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh, kita mampu menghadapi PRN Johor ke-16 dengan penuh keyakinan dan mencapai kemenangan yang membawa manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Mohammad Aswad berkata, sebarang perbincangan mengenai kerjasama pilihan raya perlu dilakukan secara tertib, matang dan berpaksikan semangat muafakat terutama dalam menghadapi PRN Johor akan datang.
Menurutnya, UMNO Johor sentiasa menjunjung keputusan pucuk pimpinan parti dan sebarang keputusan perlu dicapai melalui meja rundingan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Fadhli menyatakan kenyataan Mohammad Aswad adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, serta perlu disambut dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak dalam kerajaan.
“Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, saya bersetuju bahawa sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya perlu dilakukan secara inklusif, berhemah dan berteraskan semangat menang-menang,” katanya.