Jangan gaduh pasal slogan, fokus selesai masalah rakyat - Shafie

LAHAD DATU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa tidak perlu wujud perbalahan berhubung slogan yang dibawa oleh mana-mana pihak, khususnya slogan 'Sabah untuk rakyat Sabah' yang menjadi pertikaian segelintir pemimpin politik.

Menurut beliau, slogan seperti itu bukanlah bertujuan untuk menimbulkan kebencian terhadap rakyat dari Semenanjung, sebaliknya menyeru agar suara dan kepentingan rakyat Sabah terus diperkasa seperti yang turut diamalkan oleh negeri-negeri lain di negara ini.

"Itu yang saya katakan bila saya sebut 'Sabah kita punya', bukan bererti kita benci orang Semenanjung.

"Saya sayang orang Semenanjung... cucu saya ada orang Kelantan, ada juga orang Johor. Tapi bila kita nyatakan hal ini, kita cuma mahu tekankan kepentingan suara rakyat Sabah," katanya pada majlis Himpunan Rakyat Selamatkan Sabah di Tungku di sini pada Sabtu.

Beliau dalam pada itu turut membandingkan kenyataan pemimpin negeri lain yang juga memperjuangkan suara rakyat di negeri masing-masing.

"Kadang-kadang kita ada dengar mereka cakap. Di Johor, Sultan Johor brtitah mahu bulatkan suara negeri Johor. Di negeri lain juga mereka mahu bulatkan suara negeri Kelantan, mereka mahu bulatkan suara Terengganu, mereka mahu bulatkan suara orang Sarawak

"Kalau mereka boleh, kenapa kita di Sabah ini tidak boleh," ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa perdebatan mengenai slogan bukanlah keutamaan, sebaliknya kerajaan harus memberi fokus kepada menyelesaikan isu dan keperluan rakyat.

"Bukan bermaksud keadaan itu seperti yang digambarkan. Jangan gaduh pasal slogan.

"Kamu jadi kerajaan sekarang, tangani masalah rakyat. Buat apa kita gaduh pasal slogan 'Sabah Maju Jaya'... mana ada majunya, jalan pun berlubang," katanya sinis.

Diminta mengulas mengenai keputusan Warisan untuk bertanding secara solo dan sama ada parti itu akan terus menyasarkan kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata pihaknya masih meneliti keupayaan untuk bertanding di semua kerusi.

"Kita harus lihat di mana ada peluang untuk menang, kedudukan dan keupayaan kita dalam menghadapi pilihan raya. Kita bukan parti yang ada banyak duit, semuanya terbatas.

"Namun saya berharap kali ini rakyat Sabah tidak hanya melihat kepada duit semata-mata. Saya masih ingat dulu ada calon yang tiada wang, tapi tetap menang.

"Ini menunjukkan rakyat bukan hanya menilai dari segi kewangan, tetapi melihat siapa yang selalu buka pintu rumah, siapa yang melayan mereka dengan baik dan siapa yang benar-benar mendengar masalah mereka," katanya.

Menurutnya, keputusan untuk bertanding secara solo tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya mengambil kira situasi sebenar di peringkat akar umbi.

"Apabila kita nyatakan mahu bertanding solo, bukan bermaksud ikut nafsu, tetapi kita lihat dahulu keadaan.

"Sebab itu saya sebut tentang kerjasama, jika ada kawasan yang sukar untuk kita menang, tetapi rakyat di situ mahu wakil daripada Warisan, maka kita akan bertanding. Kalau ada keyakinan daripada rakyat, kita yakin boleh menang," ujarnya.