Rafizi mungkin nilai semula peranannya dalam parti

KEKALAHAN Datuk Seri Rafizi Ramli kepada pencabarnya, Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya telah dijangka oleh banyak pihak, mengambil kira sokongan terbuka yang diterima oleh lawannya sejak awal kempen pemilihan bermula.

Malah, kekalahan dalam Pemilihan PKR bagi penggal 2025–2028 ini bukanlah kali pertama buat Ahli Parlimen Pandan itu, yang pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan sama pada tahun 2018.

Namun, 'aura' kekalahan kali ini dilihat membawa kesan yang berbeza, memandangkan sejak awal kempen, Rafizi yang mengetuai kumpulan HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa) lantang mengkritik kepimpinan partinya sendiri.

Kini, dengan kekalahan pemimpin yang dikenali sebagai pelopor reformasi dalam PKR itu, tumpuan pastinya terarah kepada hala tuju kerjayanya, terutama selepas beliau sendiri memberi bayangan akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, sebagai tokoh yang dikenali berprinsip dan tegas, kekalahan tersebut mungkin mendorong Rafizi untuk menilai semula peranannya dalam parti, termasuk kedudukannya dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, perjalanan politik Rafizi sebelum ini tidak pernah bersifat konvensional, apabila beliau pernah berundur seketika daripada radar politik.

“Beliau berundur daripada politik pada tahun 2018, kembali aktif pada 2022 dan sepanjang tempoh itu kekal konsisten dengan misi reformasi institusi serta ketelusan dalam tadbir urus.

“Sekiranya beliau memilih untuk benar-benar kembali ke akar umbi atau berehat dari politik, ia wajar dilihat bukan sebagai kekalahan peribadi, tetapi sebagai manifestasi komitmen terhadap nilai demokrasi dalam parti.

“Tidak ramai pemimpin politik yang sanggup menerima keputusan akar umbi tanpa mencuba mengubah naratif. Dalam konteks politik Malaysia, ini adalah sifat yang wajar dihormati,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membenarkan Rafizi melepaskan jawatan menteri sekiranya keputusan itu dibuat, beliau berkata ia bergantung kepada dua faktor utama.

“Pertama, keperluan parti terhadap sumbangan intelektual dan strategik Rafizi. Kedua, tahap kesediaannya sendiri untuk terus memainkan peranan, meskipun tanpa jawatan rasmi.

“Dalam politik moden, pengaruh tidak semestinya datang daripada jawatan formal. Sekiranya Rafizi masih dilihat sebagai pemikir utama parti, maka beliau masih boleh berfungsi sebagai suara penting dalam hala tuju PKR,” jelasnya.

Beralih arah

Sementara itu, ketika ditanya tentang kemungkinan Rafizi beralih arah atau meninggalkan PKR susulan kekalahan kepada Nurul Izzah, beliau menyifatkan perkara itu sebagai agak mustahil memandangkan komitmen dan sejarah panjang Rafizi dalam perjuangan reformasi.

“Kemungkinan beliau terus kekal dalam PKR tetap tinggi, meskipun mungkin dalam peranan yang lebih senyap atau di belakang tabir.

“Penubuhan parti baharu bukanlah sesuatu yang mudah di Malaysia. Ia memerlukan sokongan akar umbi yang meluas, struktur organisasi yang kukuh serta naratif perjuangan yang jelas dan unik.

“Tambahan pula, rakyat kini semakin skeptikal terhadap pembentukan parti baharu yang dilihat sekadar reaksi kepada kekecewaan peribadi,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Datuk M Periasamy berpendapat, Rafizi perlu mempertimbangkan semula keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai menteri kerana khidmatnya masih diperlukan.

Menurutnya, kekalahan dalam pemilihan parti tidak semestinya bermakna Rafizi perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan.

“Saya berpandangan tidak perlu untuk Rafizi melepaskan jawatan dalam kerajaan kerana beliau masih Ahli Parlimen Pandan dan ia bukan keperluan mutlak.

“Kerajaan Madani dan PKR memerlukan pemimpin seperti beliau yang lantang, berprinsip serta kritikal. Individu seperti inilah yang diperlukan dalam pentadbiran negara,” katanya.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan Rafizi akan melepaskan jawatan Kabinet berdasarkan prinsip dan kenyataan beliau sebelum ini.

“Saya melihat kemungkinan besar Rafizi akan melepaskan jawatan kerana beliau sendiri telah membangkitkan isu ini. Kini, ia bergantung kepada tindakan susulan kerajaan dan kepimpinan tertinggi parti untuk memujuknya,” kata Periasamy.