SHAH ALAM – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan bahawa lantikan politik oleh sesebuah kerajaan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa, mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Dalam nada sinis, Dr Akmal turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tambun itu kerana, menurutnya, akhirnya memahami tindakan sama yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir negara sebelum ini.
“Alhamdulillah. Terima kasih Perdana Menteri akhirnya memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Anwar mengulas isu lantikan politik semasa sesi penggulungan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor, pada Sabtu.
Anwar berkata, lantikan politik oleh kerajaan yang mengangkat individu yang layak bukanlah satu bentuk penyalahgunaan kuasa, sebaliknya merupakan satu bentuk pengiktirafan atas sumbangan mereka terhadap kejayaan parti sehingga berjaya membentuk kerajaan.