Akmal hargai sokongan penyokong walau kem Rafizi gagal kuasai pemilihan PKR

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tetap menghargai sokongan padu penyokongnya meskipun keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat lalu tidak memihak kepada kem mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong dan pasukan kempen yang bertungkus-lumus memastikan beliau berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam pemilihan kali ini.

"Kami telah meletakkan sepenuh usaha, walaupun keputusan kali ini tidak berpihak kepada kami seperti yang diharapkan.

"Penghargaan juga buat pasukan kempen HIRUK yang tanpa henti menggerakkan kempen di lapangan dengan jayanya.

"Kita berdoa agar terus dikurniakan kekuatan untuk menempuh ujian kuasa yang begitu berat dan sukar ini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Akmal Nasrullah tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru, namun berjaya mengekalkan tempat dalam kepimpinan pusat parti.

Beliau memperoleh 4,455 undi untuk jawatan Ahli MPP seperti diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Zaliha Mustafa dalam Konvensyen Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, malam Jumaat.