JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerlukan strategi yang menyeluruh dan dekat dengan rakyat sekiranya mahu mencapai keputusan positif pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Menurut Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Zaidi Jatil, pelbagai isu rakyat masih membelenggu Sabah, antaranya jalan raya berlubang, masalah bekalan air dan elektrik, isu pendidikan yang terpinggir khususnya di pedalaman, isu tanah adat, serta masalah rakyat tanpa dokumen pengenalan diri.
“Sabah turut berdepan dengan isu peluang pekerjaan yang terhad kepada anak muda, masalah keselamatan di perairan dan sempadan, serta isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum jelas pelaksanaannya.
“Banyak lagi isu sebenarnya jika mahu disenaraikan satu persatu. Isu-isu ini bukan lagi picisan, remeh atau terpencil, sebaliknya telah menjadi isu nasional bagi rakyat Sabah.
“Ini bukan cerita lama, tetapi realiti harian yang dihadapi oleh rakyat Sabah,” katanya ketika berbahas dalam sesi perbahasan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Persada, Johor, pada Sabtu.
Tambah beliau, PKR perlu tampil dengan strategi yang mantap, disokong oleh jentera terlatih, bermotivasi serta bersedia digerakkan secara rapi dan terancang.
Katanya lagi, pendekatan secara bersemuka perlu dilaksanakan secara lebih meluas bagi memastikan tidak ada kawasan yang terpinggir, rumah yang tidak diziarahi serta pengundi yang tidak disantuni.
“Dalam dunia hari ini, persepsi adalah realiti. Jika kita tidak mengawal naratif, lawan akan mencipta persepsi palsu.
“Oleh itu, kita perlu memanfaatkan teknologi seperti data pemilih, aplikasi komunikasi dan media sosial, serta menyusun gerak kerja dengan lebih efisien,” ujarnya.
Zaidi turut menyeru agar bakat dan kemahiran dalam kalangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dimanfaatkan sepenuhnya, terutamanya dalam penggunaan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram.
“Jangan anggap ini kerja remeh kerana fakta menunjukkan pengguna media sosial paling ramai adalah golongan pengundi muda berumur 18 tahun ke atas,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui bahawa pola pemikiran rakyat telah berubah sehingga ada yang hilang kepercayaan kepada mana-mana parti politik.
Justeru, katanya, PKR perlu merangka strategi dan pendekatan yang efektif bagi mengembalikan semula keyakinan serta kepercayaan rakyat.
“Jentera kita mesti mengangkat suara rakyat, menjulang politik nilai dan khidmat, bukan mengulang propaganda dan fitnah,” tegasnya.