PKR perlu tangani politik taksub, ancam kebebasan fikir – AMK

JOHOR BAHRU - Politik taksub merupakan antara cabaran utama yang perlu ditentang dan ditangani oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, politik taksub lebih bersifat sentimen sempit yang memanipulasi isu agama dan bangsa, sehingga mencetuskan kebimbangan seolah-olah kedudukan Islam dan Melayu sentiasa terancam.

"Hari ini cabaran politik kita ialah berdepan dengan perkara yang kita lawan sejak sekian lama – politik taksub.

"Mereka memanipulasi isu kaum dan agama untuk menakut-nakutkan rakyat dengan gambaran kononnya kedudukan Islam dan Melayu sentiasa terancam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Kongres Keadilan 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, slogan keramat ‘Lawan Tetap Lawan’ kini bukan sekadar laungan semangat, tetapi menjadi simbol kepada penentangan terhadap usaha mencengkam minda dan kebebasan rakyat.

“Kita ungkap semula slogan ini bukan kerana kita belum menang, tetapi kerana kita masih melawan satu bentuk ancaman baharu – ancaman terhadap kebebasan berfikir dan kewarasan masyarakat,” katanya.

Muhammad Kamil turut mengingatkan bahawa dalam membawa politik yang matang dan berasaskan prinsip, pemimpin muda harus berani mencabar naratif ekstrem yang berselindung di sebalik agama.

“Tugas kita bukan hanya mempertahankan kuasa, tetapi memperbetulkan hala tuju.

“Islam bukan alat politik. Islam menuntut urus tadbir yang baik dan pentadbiran yang telus. Inilah yang kita bawa melalui kerangka Madani.

“Oleh itu, seluruh warga AMK perlu terus mempertingkatkan usaha penerangan dan mendekati rakyat, khususnya generasi muda, agar mereka tidak terus terperangkap dalam politik kebencian yang sempit dan tidak membina,” tegasnya.