SHAH ALAM - Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor Bahru sudah membuka tirai pada Khamis.
Tumpuan rakyat seluruh negara masa kini sudah pasti terarah kepada kehangatan proses pemilihan jawatan peringkat Pusat terutama Timbalan Presiden.
Dengan proses pengundian kepimpinan PKR membabitkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita bagi sesi 2025-2028 berlangsung hari ini membabitkan 30,000 perwakilan, keputusan dijangka diketahui seawal jam 9 malam ini.
Penyandang jawatan Presiden merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tidak rasminya telah mengekalkan jawatan utama PKR tanpa dicabar.
**media[3137133]**
Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan pertembungan sengit di antara penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah undi 30,000 perwakilan, lebih 9,000 daripadanya akan mengundi secara fizikal, manakala selebihnya akan mengundi secara dalam talian.
Menurutnya, dengan seramai 251 calon bertanding bagi jawatan MPP, AMK dan Wanita, jumlah itu turut merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK, manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Hakikatnya, kehangatan pemilihan PKR sudah tercetus sejak pemilihan peringkat cabang dan ranting pada 20 April susulan berlakunya fenomena ‘badan tanpa kepala’ yang menggoncang parti itu.
Fenomena ‘unik’ yang menyaksikan ramai bekas ketua cabang terutama pemimpin-pemimpin pro Rafizi seperti Nik Nazmi; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Rodziah tumbang telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kem Menteri Ekonomi itu.
**media[3137135]**
Natijahnya, kem Rafizi melancarkan kempen HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa) yang menggunakan pendekatan lebih konfrontasi merangkumi inisiatif mengembalikan nostalgia semangat reformis awal PKR.
Lebih menarik, Rafizi secara terbuka turut menuduh proses pemilihan kali ini dikuasai oleh golongan ‘kartel’ yang didakwa mengelilingi Anwar.
Rafizi juga mengamalkan strategi berani mati apabila mendedahkan dakwaan berlakunya politik wang, kelemahan sistem pemilihan parti dan nepotisme.
Kempen DAMAI
Sementara itu, Nurul Izzah yang mengesahkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden pada saat akhir pula tidak ketinggalan melancarkan kempen DAMAI (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif).
**media[3137136]**
Disokong barisan pemimpin utama PKR termasuk calon Naib Presiden, R Ramanan; tiga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri termasuk Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Fadhlina; Muhammad Kamil dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, penyandang Naib Presiden itu mengamalkan pendekatan lebih berfokus dan bertenang.
Kempen pemilihan beliau pula lebih tertumpu kepada usaha penyatuan semula kem-kem dalam parti selepas proses pemilihan berakhir.
Nurul Izzah turut menolak cadangan debat terbuka bersama Rafizi susulan beliau telah menerima sokongan lebih 200 daripada 222 cabang untuk mengambil alih jawatan Timbalan Presiden dari tangan Rafizi.
**media[3137134]**
Peluang
Menilai peluang kemenangan kedua-dua tokoh berpengaruh PKR itu, secara atas kertas Nurul Izzah lebih dianggap berpeluang besar untuk memenangi kerusi ‘panas’ nombor dua parti berbanding Rafizi.
Hal ini diakui sendiri bekas Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni yang lebih awal mengucapkan ‘tahniah’ kepada Nurul Izzah melalui program audio siar beliau pada Selasa lalu.
Menyifatkan peluang Rafizi agak sukar setelah proses pemilihan PKR kali ini bertukar kepada sistem proportional representation, Iswardy mendedahkan keadaan itu menjadi lebih buruk mengambil kira kekalahan ramai calon ketua cabang ‘kem’ Ahli Parlimen Pandan itu pada pemilihan peringkat cabang.
Justeru apabila Nurul Izzah dan Amirudin bertindak mengetepikan peranan Rafizi selaku Pengarah Pilihan Raya PKR sewaktu merasmikan majlis pelancaran jentera parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah minggu lalu, itu isyarat jelas kepada perwakilan PKR bahawa pucuk kepimpinan telah merestui Nurul Izzah sebagai panglima perang baharu.
Serangan Rafizi
Dari sudut lain, serangan terbuka Rafizi terhadap Anwar sewaktu Grand Finale Jelajah HIRUK termasuk mempersoalkan sikap Presiden PKR itu yang didakwanya ‘depan cakap lain, belakang cakap lain’, ditambah keyakinan Pengarah Pilihan Raya parti itu bahawa beliau bakal tewas dan sedia meletak jawatan menteri, mungkin memberi impak negatif dari aspek sokongan undi perwakilan.
Di sebalik pertembungan dahsyat di antara kem ‘HIRUK’ dan kem ‘DAMAI’, ramai pemerhati politik menjangkakan impaknya tidak akan menggoncangkan kestabilan parti sebagaimana pertembungan Rafizi dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan tahun 2019.
“Jika Rafizi terbukti kalah pada pemilihan kali ini, beliau tidak akan sesekali meninggalkan parti. Cuma Rafizi mungkin akan kekal dengan keputusan meletak jawatan menteri dan tidak lagi agresif membantu jentera PKR.
“Rombakan Kabinet juga mungkin akan berlaku. Ini kerana sekiranya sekutu-sekutu Rafizi seperti Nik Nazmi, Lih Kang dan Amin (Aminuddin) turut tewas, mereka mungkin terpaksa memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin seperti Ramanan, Muhammad Kamil dan Sim Tze Tzin untuk memegang jawatan menteri penuh,” kata Iswardy.
Bagi Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, sekiranya mana-mana calon Timbalan Presiden tewas, mereka masih akan diberi jaminan tempat dalam jawatan utama parti.
Jelasnya, ini kerana pemimpin-pemimpin seperti Nurul Izzah, Rafizi mahu pun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sentiasa dianggap sebagai aset parti yang penting untuk pengukuhan PKR pada masa hadapan.