'Semua permohonan ahli baharu bertanding lulus ikut prosedur' - Anwar

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan semua permohonan daripada ahli baharu yang ingin bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat pusat telah diluluskan selepas melalui tapisan dan prosedur ditetapkan.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang pertikaian jika hanya sebahagian permohonan diterima manakala selebihnya ditolak.

“Kalau luluskan sebahagian, nanti akan jadi masalah. Semua yang dihantar ke pejabat dan sampai ke meja saya, saya luluskan.

"Tiada isu kerana ia melalui tapisan dari ibu pejabat termasuk semakan latar belakang seperti status bankrap dan rekod jenayah,” katanya.

Beliau demikian ketika sidang akhbar selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pemilihan kepimpinan pusat PKR bagi penggal baharu di Hotel Berjaya Waterfront di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan beliau akan membawa cadangan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini menggesa pemansuhan kuasa khas presiden ke mesyuarat tertinggi parti.

“Saya tidak berhasrat buat keputusan sendiri. Saya sudah sebut dengan jelas dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Jadi cadangan itu akan saya bawa ke mesyuarat untuk diputuskan bersama,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoal layanan istimewa terhadap calon Naib Presiden, R Ramanan yang didakwa membolehkan timbalan menteri itu naik pangkat dalam masa kurang empat tahun selepas menjadi ahli parti.

Pada masa sama, beliau turut menyeru akar umbi untuk menamatkan kuasa khas yang dipegang oleh presiden parti bagi memberi pengecualian kepada mana-mana ahli baru untuk bertanding dalam pemilihan parti atau pilihan raya.