Nurul Izzah tak patut sekongkol golongan amal politik wang untuk menang

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tidak sepatutnya bersekongkol dengan golongan yang mengamalkan politik wang dalam parti semata-mata mahu memenangi jawatan.

Calon merangkap penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, Nurul Izzah tidak sewajarnya bertindak sedemikian jika betul-betul bimbang tentang amalan yang hanya berkisarkan wang dan keghairahan mendapatkan jawatan dalam PKR.

Menurut menteri ekonomi itu, tindakannya membuat kritikan secara terbuka kerana amalan sebegitu bertentangan dengan prinsip perjuangan parti selama ini.

Jelasnya lagi, dalam pertemuan terakhir bersama Nurul Izzah pada 20 Mei lepas, Puteri Reformasi itu sekali lagi merayu untuk meminta bantuan selepas pemilihan parti.

“Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Saya nyatakan di awal perjumpaan, saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.

“Alasan diberikan adalah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baharu yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada Presiden dan parti.

“Beliau secara jelas berkongsi kebimbangan mengenai niat, rekod, amalan politik mereka dan kesannya kepada PKR,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pandan itu mengakui kurang selesa dengan beberapa kumpulan dalam parti yang baginya tidak membawa, memperjuangkan mahupun menggambarkan reformasi politik.

Tambahnya, kumpulan berkenaan juga bekerjasama menolak untuk calon-calon yang tidak mengamalkan perkara sama, termasuk 'orang lama'.

"Atas alasan konsisten menolak mereka, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon yang tak amal perkara sama.

"Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan-amalan ini secara terbuka.

"Akhirnya, setelah kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baharu PKR, saya juga dirayu untuk melawan mereka. Jika Nurul Izzah bimbang, beliau sepatutnya tidak bersekongkol demi memenangi jawatan Timbalan Presiden," ujar Rafizi lagi.