JOHOR BAHRU – Proses pengundian fizikal dan dalam talian sempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang berlangsung pada Jumaat berjalan lancar tanpa sebarang isu teknikal dilaporkan pada sebelah pagi.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata tiada gangguan internet dikesan di dua lokasi pengundian fizikal di Johor iaitu di Pusat Konvensyen Danga Bay dan Berjaya Waterfront.
**media[3137592]**
“Saya membuat pemantauan bukan sahaja di lokasi Johor tapi juga di beberapa lokasi lain seperti Kota Kinabalu dan Kuching.
"Setakat ini, tiada masalah besar. Kebanyakan perwakilan menggunakan data mudah alih, mungkin tidak begitu kuat. Namun WiFi tetap disediakan sebagai sokongan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata belum ada angka rasmi jumlah perwakilan yang telah selesai mengundi dikeluarkan parti setakat ini, namun pemantauan berterusan sedang dilakukan.
"Saya jangka akan selesai mengikut waktu, cuma mungkin bagi sesetengah daripada perwakilan, mereka disarankan untuk mengundi pada waktu-waktu tertentu mengikut negeri untuk mengelakkan kesesakan.
"Saya akan mengundi pada jam 12 tengah hari nanti," katanya.
Mengulas mengenai keputusan pemilihan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata keputusan awal tidak rasmi dijangka diumumkan seawal jam 9 malam ini.
Pengumuman rasmi barisan kepimpinan baharu pula akan dibuat sekitar jam 2.30 petang Sabtu oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), tambahnya.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.
Jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Kongres yang mula berlangsung pada Khamis itu merupakan himpunan terbesar dalam sejarah sejak parti itu ditubuhkan pada 1999.