Rafizi tak dihalang ke Sarawak jika kalah, tak jadi menteri

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan dihalang untuk masuk ke Sarawak jika bukan lagi bergelar menteri atau kalah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menteri Kabinet Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kenyataan Rafizi yang membayangkan beliau mungkin sekali lagi disekat memasuki negeri itu seolah-olah menyindir mereka.

“Kita mempunyai hubungan baik dengan Pakatan Harapan (PH) dan PKR pada peringkat Persekutuan dan bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kenapa sindir kami?” katanya memetik laporan FMT.

Pada Sabtu lalu, Rafizi membayangkan beliau mungkin disekat memasuki Sarawak sekiranya tiada lagi jawatan dalam kerajaan dan parti semasa kempen sempena pemilihan PKR.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menegur kenyataan yang dibuat itu dan mengingatkan bahawa Sarawak adalah rakan strategik Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak yang mempunyai autonomi dalam isu imigresen, sentiasa menggunakan haknya untuk melarang kemasukan ke negeri itu secara bertanggungjawab.

Ujar beliau, hanya individu yang berniat jahat, khususnya untuk menyemai perpecahan melalui perselisihan bangsa dan agama akan dilarang memasuki negeri berkenaan.

“Jika Rafizi bukan lagi menteri dan menjaga perlakuan apabila berada di Sarawak, sudah pasti kami tidak akan menghalangnya,” kata Karim.

Sebelum ini, pemimpin PH dan Rafizi dilarang memasuki negeri itu dari tahun 2013 hingga 2018 namun larangan itu disemak semula selepas PH membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2018.