JOHOR BAHRU - Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 pagi ini tertumpu kepada proses pemilihan kepimpinan baharu parti bagi sesi 2025-2028.
Proses bagi memilih kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat itu bermula jam 8 pagi dan berakhir 5 petang, membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian.
Ia akan dijalankan menerusi dua kaedah, iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di sini.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan dilaksanakan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.
Sementara itu, perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat dan Wanita Pusat akan mengundi secara dalam talian pada masa sama menerusi aplikasi ADIL.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula,12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing, termasuk empat penyandang, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam); Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK, manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan pemilihan kepimpinan baharu dijangka diketahui paling awal malam ini atau 2.30 petang, esok.
Selain itu, Kongres AMK dan Wanita turut memulakan kongres masing-masing pagi ini dengan ucapan dasar Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek, diikuti sesi perbahasan sebelum penggulungan oleh Setiausaha, Naib Ketua, Timbalan Ketua dan Ketua Sayap.
Pada jam 9.25 malam, Anwar dijadual merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, dengan dihadiri barisan kepimpinan parti dan perwakilan. - Bernama