KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) menafikan parti itu akan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mengadakan sebarang rundingan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Malah Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menegaskan bahawa parti itu kini sedang giat membuat persiapan untuk bertanding secara solo pada PRN17.
"Kami akan bertanding secara bersendirian dengan menggunakan logo parti sendiri, kami tidak bersama mana-mana gabungan.
"Khabar angin yang mendakwa Warisan akan menyertai GRS atau membuat rundingan di belakang tabir adalah tidak benar.
"Itu semua adalah pembohongan yang sengaja disebarkan di media sosial untuk mengelirukan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, khabar angin tersebut sengaja disebarkan untuk mengalihkan perhatian rakyat mengenai isu yang perlu diberi tumpuan.
"Cerita-cerita sebegini sengaja dicipta untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti kenaikan kos sara hidup, masalah bekalan air dan elektrik, peluang pekerjaan serta hak kawalan yang adil terhadap sumber negeri sendiri," ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut menyatakan kekesalannya apabila institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah turut dikaitkan dalam khabar angin politik ini.
"TYT adalah institusi yang bebas daripada politik dan mesti dihormati. Jangan sesekali menjadikan TYT sebagai alat untuk meraih keuntungan politik.
"Saya menyeru rakyat Sabah agar kekal fokus dan tidak mudah terpedaya. Pilihan raya kali ini adalah tentang memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Sabah dan bukan mereka yang hanya pandai bermain politik," tegasnya.
Sehubungan itu, Loretto sekali lagi turut mengulangi pendirian Warisan bahawa gabungan parti itu hanya untuk bersama rakyat.
"Pendirian kami jelas iaitu gabungan Warisan ialah bersama rakyat. Kami tidak akan terlibat dalam permainan politik yang sedang berlaku.
"Warisan sejak awal lagi konsisten sebagai satu-satunya parti pembangkang di Sabah. Gabungan bukan jawapannya kerana masa depan negeri ini memerlukan satu gerakan yang tegas dan berteraskan rakyat.
"Perjuangan kami adalah demi hak dan masa depan rakyat Sabah. Kami akan terus bersama rakyat dan bukan bersama elit politi," katanya.