Pemilihan PKR bukan soal jawatan - Ramanan

SHAH ALAM - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sekadar soal perebutan jawatan, sebaliknya menjadi medan menyuburkan demokrasi dan memperkukuh kesatuan dalam parti.

Calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan berkata, proses itu merupakan bukti kematangan PKR yang sentiasa menjunjung prinsip reformasi sejak penubuhannya, selain meminta semua pihak menjadikan pemilihan sebagai ruang memperkuat parti dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.

“Kita harus pastikan suara rakyat terus menjadi nadi perjuangan parti kerana segala-galanya bermula dari suara akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, pemilihan parti itu harus menjadi manifestasi kepada idealisme reformasi dan semangat perpaduan.

Menurut Ramanan, kesetiaan terhadap perjuangan bersama Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi asas penting dalam memastikan parti itu terus relevan dalam landskap politik negara.

“Sebagai sebuah parti yang berteraskan pelbagai kaum dan agama, PKR melalui dan merentasi pelbagai cabaran dan halangan dari dalam serta luar parti.

“Pemilihan parti bukanlah satu proses yang baharu untuk kita semua, sebaliknya hanya ada satu pasukan dalam PKR.

“Demokrasi dalaman bukan kelemahan, sebaliknya bukti kematangan parti,” ujar beliau.