SHAH ALAM - Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, nekad bertanding dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tanda solidariti terhadap nasib rakannya yang teraniaya dalam pemilihan peringkat cabang.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat ramai ahli di cabang lain turut menjadi mangsa ketidakadilan dalam pemilihan parti.
“Selepas ditipu siang-siang dalam pemilihan di peringkat cabang, saya sebenarnya tawar hati untuk bertanding dalam MPP.
“Tetapi melihatkan ramai rakan-rakan di cabang lain turut teraniaya, ditambah dengan usaha secara sistematik untuk mengetepikan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, saya masuk bertanding sebagai tanda solidariti dengan semua,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.
Pada April lalu, Akmal Nasrullah gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru selepas tewas kepada pesaingnya yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail dalam pemilihan PKR Cabang Johor Bahru.
Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Akmal Nasrullah memperoleh 587 undi manakala Mohamad Taufiq memperoleh 709 undi.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Johor menjadi saksi kepada kelesuan politik yang melanda PKR ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Namun, katanya, kembalinya Rafizi dalam kepimpinan parti telah memulihkan semula keyakinan rakyat, terutama ‘pengundi atas pagar’ terhadap Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
“Johor menjadi saksi terhadap kelesuan politik yang membadai PKR pada PRN yang lepas, sehingga kembalinya Rafizi memberi keyakinan kepada rakyat terutama pengundi atas pagar untuk memberi kepercayaan kepada PH sekali lagi khususnya di Johor.
“Benar ujian kuasa itu cukup berat. Sama ada kita tahan dengan habuan yang besar atau ugutan yang mencengkam, jauh lebih mudah sewaktu kita tidak mempunyai apa-apa dahulu,” ujarnya.
Mengulasnya lanjut, rakyat akan terus menjadi penilai terhadap kepimpinan parti.
“Sama ada kita melepasi ujian ini dan diberi kepercayaan sekali lagi atau kita akan dirosakkan terus oleh rakyat ke dalam tong sampah sejarah,” kata beliau.