Desakan Amanah tidak matang, alih fokus dari isu rakyat - UMNO Johor

JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyifatkan kenyataan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang mendesak Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian mengenai kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) sebagai tidak matang dan tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, desakan itu hanya mencetuskan polemik dan mengalih tumpuan daripada isu-isu utama rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan negeri.

“Kemenangan BN dalam PRN Johor 2022 dengan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah mandat jelas daripada rakyat.

“Sebarang tekanan berkaitan pembahagian kerusi oleh parti kecil seperti Amanah hanya mengganggu fokus kepada agenda pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan mendesak BN menyatakan pendirian sama ada PRN16 akan melibatkan pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru di negeri ini.

Md Israk menegaskan bahawa UMNO Johor cukup komited terhadap kestabilan politik dan pelaksanaan agenda Maju Johor, sambil menempelak sikap pemimpin Amanah yang menurutnya lebih gemar mencipta persepsi politik daripada menawarkan penyelesaian.

“Sikap Dzulkefly yang memilih untuk mempolitikkan isu pelantikan dan pembahagian kerusi ketika sidang DUN berlangsung menunjukkan keutamaan yang tersasar,” katanya lagi.

Justeru, UMNO Johor menyeru Amanah kembali kepada asas perjuangan dan meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala pertimbangan politik jangka pendek.

Pada PRN Johor 2022, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh majoriti lebih dua pertiga.

BN menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, manakala Pakatan Harapan (PH) pula menang 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.