JOHOR BAHRU – Calon Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rodziah Ismail menyeru semua ahli parti agar bangkit sekiranya hak mereka dinafikan dalam proses pemilihan parti yang sedang berlangsung.
Ahli Parlimen Ampang itu menegaskan bahawa setiap ahli mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan hak mengundi mereka, sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi memastikan suara akar umbi didengari dan dihormati.
“Walau apa juga keputusan pada 24 haribulan (pemilihan) nanti, kalau hak anda dinafikan, jangan risau, bangkit bersama untuk kita nyatakan sokongan.
"Kita mahu pastikan sistem kita diperbetulkan,” katanya ketika Jelajah Hiruk di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Menurutnya, audit yang dijalankan oleh pihak luar telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem pemilihan, justeru beliau berharap segala teguran itu dijadikan asas penambahbaikan demi kelangsungan dan integriti parti.
“Kita ingin satu saja iaitu kepercayaan anggota kepada kita dipulihkan sepenuhnya. Dengan itu, orang luar juga akan yakin kepada PKR," katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa parti akan meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim serta calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.