KOTA KINABALU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada parti-parti lain supaya tidak terlalu angkuh hingga menolak keperluan untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berdasarkan trend semasa di peringkat global, adalah menjadi kelaziman bahawa tiada satu parti pun mampu mendominasi secara mutlak dalam pembentukan sesebuah kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu turut terbukti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila tiada satu parti pun memperoleh majoriti mencukupi untuk memerintah negara.
"Biarpun UMNO sebuah parti yang terbesar di negara ini, tetapi kita tidak mempunyai banyak kerusi yang kita menangi ketika itu. Namun jumlah kerusi yang kecil ini pun kita telah memberikan sumbangan bagi pembentukan kerajaan yang ada sekarang ini.
"Saya nampak trend yang sama mungkin akan berlaku di Sabah ini. Janganlah mana-mana pihak berasa terlalu besar hati untuk merasakan bahawa parti itu dominan dan tidak memerlukan bertanding dengan kerjasama parti-parti lain.
"Jika ada yang berhasrat untuk bertanding solo sekalipun, maka mereka harus mengetahui bahawa ini adalah trend dunia dan saya yakin ini juga akan berlaku di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar, Institut Kemahiran Mara (IKM) di Sepanggar pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan kenyataannya berhubung BN-Pakatan Harapan (PH) Plus, Plus, Plus adalah mengenai sebarang kerjasama yang belum pun dimuktamadkan lagi bersama parti-parti lain.
"Kita tidak pernah menutup pintu dan tentunya rakan-rakan parti lain tidak menutup pintu, jadi kami terbuka untuk menjalin sebarang kerjasama untuk menghadapi PRN ke-17 (PRN17).
"Oleh yang demikian, UMNO dan BN amat terbuka untuk menjalin kerjasama dan keterbukaan ini sehinggalah hari penamaan calon, apatah lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibubarkan maka pintu rundingan itu masih terbuka, dan Insya-ALLAH di bawah mesyuarat dengan PH, BN akan mencari rakan-rakan yang terbaik bagi pembentukan kerajaan di negeri Sabah ini," katanya.