Tuduhan beri laluan Kamil tak berasas, hormati demokrasi parti - Farzana

MELAKA - Dakwaan Pemilihan PKR kali ini diadakan semata-mata untuk memberi laluan kepada Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dianggap sebagai tuduhan tidak berasas.

Ketua AMK Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli itu tidak benar dan seolah-olah tidak menghormati proses demokrasi dalam parti.

Menurutnya, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan berlangsung tidak lama lagi, adalah amat penting untuk memperkukuhkan jentera parti dengan barisan kepimpinan yang mendapat mandat dan kepercayaan akar umbi.

"Hanya melalui pemilihan terbuka dan telus, dapat melantik pemimpin yang benar-benar diyakini oleh ahli untuk mengetuai pergerakan dan menjadi panglima barisan hadapan dalam menghadapi pilihan raya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, persoalan yang patut dibangkitkan ialah mengapa tiada pencalonan lain bagi menentang Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk jawatan tersebut.

"Mengapa tidak dipersoalkan juga apabila tiada pencabar untuk jawatan Presiden? Ini bukan soal memberi laluan, tetapi soal keyakinan ahli terhadap keupayaan pemimpin.

"Akar umbi telah menunjukkan keyakinan penuh terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui PKR ke arah kemenangan dalam PRU16 sekali gus mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.

"Begitu juga dengan saudara Kamil apabila majoriti anggota AMK percaya beliau mampu memimpin AMK dengan penuh integriti dan semangat juang, menjelang pilihan raya akan datang," katanya.

Farzana Hayani berkata, Rafizi merupakan tokoh penting dalam parti yang amat dihormatinya dan sumbangan serta pengorbanan beliau dalam perjuangan parti tidak dapat dinafikan.

"Justeru, mari kita bersama menghormati suara akar umbi, mengukuhkan barisan kepimpinan dan bertanding secara sihat demi memperkuatkan parti kesayangan kita," katanya.