ALOR SETAR - Kerjasama gabungan empat kerajaan negeri Perikatan Nasional (SG4) diyakini mampu menjadi satu realiti ekonomi yang memberi impak besar kepada negeri terlibat sekiranya dirancang secara teliti dan dilaksanakan tanpa campur tangan politik sempit.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, walaupun SG4 masih belum dilihat memberi hasil segera, namun konsep tersebut mempunyai potensi besar sebagai satu perancangan jangka panjang.
Menurutnya, ia bukanlah satu angan-angan, sebaliknya merupakan satu ideologi yang boleh dilaksanakan dan dijadikan realiti.
“SG4 ditubuhkan atas usaha untuk memajukan negeri-negeri di bawah naungan PN, ia boleh memberi sumbangan besar kepada ekonomi dengan syarat pemimpin memahami konsep tersebut, pelabur diberikan kelonggaran serta kerajaan Persekutuan tidak menghalang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, SG4 yang terdiri daripada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dilihat cuba mencontohi model kesatuan seperti ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) dengan menekankan persamaan identiti serta kelebihan ekonomi setempat.
“Idea tersebut menuntut pemahaman mendalam terutamanya kalangan kepimpinan negeri bagi menterjemah ideologi yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Penasihat SG4) ke dalam bentuk tindakan bersepadu.
“Ramai mungkin belum nampak hala tuju SG4 kerana ia bukan perancangan jangka pendek. Hasilnya tidak akan kelihatan dalam satu atau dua tahun. Ia memerlukan pelan jangka panjang yang disesuaikan dengan kekuatan setiap negeri,” katanya.
Menurutnya lagi, setiap negeri dalam SG4 mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh digarap menjadi sumber ekonomi asas kepada pembangunan bersama.
“Penting untuk keempat-empat negeri ini bersatu seterusnya membawa perubahan besar kepada negeri masing-masing termasuk negara.
“Sebagai contoh, walaupun Perlis dilihat kecil dan kurang menonjol, negeri itu sebenarnya mempunyai potensi dalam penghasilan tebu sebagai sumber asas gula, rumput napier untuk ternakan atau biomas.
“Perlis juga merupakan pelabuhan darat strategik antara Thailand dan negeri-negeri Semenanjung serta ke Singapura,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani menjelaskan, Kedah pula disarankan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan sejarah dan arkeologi berasaskan warisan Kedah Tua selain memanfaatkan potensi pertanian sedia ada seperti penanaman padi.
“Di Australia contohnya, kawasan sejarah perlombongan emas dihidupkan kembali sebagai destinasi pelancongan dan menjadi sumber ekonomi utama. Kedah boleh lakukan perkara sama,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, Terengganu pula dilihat mempunyai potensi besar dalam industri minyak dan gas serta sumber silika sebagai komoditi eksport, sementara Kelantan kaya dengan sumber asli seperti emas, pembalakan, unsur nadir bumi (REE) selain peranannya sebagai pintu masuk perdagangan di sebelah timur seperti Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam termasuk China, Korea dan Jepun.
“SG4 boleh mencontohi kejayaan Pulau Pinang dan Selangor yang mampu menjadi enjin ekonomi negara walaupun tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak.
“Jika SG4 digarap sebaiknya, empat-empat negeri ini akan menjadi gabungan besar yang memberi impak ekonomi kepada negara, selain perlu mengelakkan pertindihan ekonomi dengan mewujudkan pelan kerjasama menyeluruh,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, negeri-negeri ini juga perlu terbuka menerima pelabur dari mana sekalipun dan memastikan manfaat pelaburan turut dirasai rakyat tempatan.
“Paling penting adalah pelaburan. Pelabur akan datang jika politik picisan diketepikan. Sekiranya usaha itu berjaya, ia bukan sahaja meningkatkan hasil negeri, malah mengekang penghijrahan penduduk tempatan ke luar untuk mencari pekerjaan,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, pelbagai usaha sedang dijalankan bersama semua kerajaan negeri SG4, yang mana kebanyakan kerjasama masih dalam proses dan hal-hal teknikal.
Sementara Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menafikan pembentukan SG4 tidak memberi impak sebaliknya proses terus berjalan dengan pelbagai perancangan dan kemajuan dalam jangka panjang seiring dengan aspirasi SG4.