SHAH ALAM – Semua ahli Parti Amanah Negara (Amanah) dinasihatkan agar tidak membuat sebarang komen atau pandangan secara terbuka berkaitan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang sedang berlangsung.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, larangan itu bertujuan mengekalkan hubungan erat dan kesepaduan yang sekian lama terjalin antara Amanah dan PKR dalam gabungan Pakatan Harapan.
“Kami menghormati pemilihan PKR yang sedang berlangsung dan memandangkan ia adalah urusan dalaman PKR, pimpinan serta ahli Amanah di semua peringkat tidak seharusnya mencampuri proses tersebut.
“Oleh itu, semua ahli dinasihatkan mengelak daripada memberikan komen atau pandangan dalam mana-mana platform media atau wacana, khususnya yang menunjukkan kecenderungan menyebelahi mana-mana calon,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, tindakan itu penting bagi memelihara semangat muafakat serta solidariti antara parti-parti komponen Pakatan Harapan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Pemilihan PKR 2025 menyaksikan proses pencalonan telah berlangsung pada 8 dan 9 Mei lalu secara dalam talian. Proses bantahan dijalankan pada 11 dan 12 Mei, disusuli rayuan pada 13 dan 14 Mei.
Tarikh akhir penarikan diri ditetapkan pada 14 Mei, manakala senarai muktamad calon diumumkan pada 15 Mei. Tempoh berkempen berlangsung dari 15 hingga 22 Mei sebelum hari pengundian pada 23 Mei.
Kongres Nasional PKR, termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita, dijadual berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.