SHAH ALAM - Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) mendakwa sikap terburu-buru Pas menghukum pihak lain dalam isu kesilapan teknikal melibatkan Jalur Gemilang akhirnya memakan diri sendiri apabila parti itu turut melakukan kesalahan sama.
Bagaimanapun, Ketuanya, Woo Kah Leong yakin kesalahan sama yang pernah melibatkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, Kementerian Pendidikan (KPM) dan terbaharu, Pas Terengganu merupakan kesilapan teknikal.
"Jangan meludah ke langit, lantaran akan terkena muka diri juga. Setiap insan adalah tidak akan terkecuali daripada membuat kesilapan, khususnya kesilapan teknikal. Dalam isu bendera yang silap tidak kiranya dari apa-apa aspek pun, saya yakin itu adalah kesilapan teknikal, dari Sin Chew Daily, KPM sehinggalah Pas Terengganu.
"Cuma bila lain buat salah, retorik Pas adalah berbunyi bahawa...ini adalah kesilapan yang tidak dapat dimaafkan, ada juga kedengaran agar dilucutkan kewarganegaraan untuk editor surat khabar, malah ada yang kaitkan dengan DAP dan fahaman agama pemimpin politik DAP.
"Kini, apabila pihak yang sibuk berlagak hero dan mengecam orang lain membuat salah, pihak tersebutlah terpaksalah termakan ayat sendiri, termasuklah ayat-ayat yang pernah dilemparkan terhadap orang lain yang membuat kesilapan yang sama," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Media pada Isnin melaporkan, Pas Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang mencetuskan kontroversi, berikutan memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.
Mengulas lanjut, Kah Leong bagaimanapun berkata, pihaknya memilih untuk tidak mahu memanaskan lagi suhu politik dengan isu berkenaan.
"Sebagai ahli politik yang bertanggungjawab, biarlah kami rendahkan suhu politik, fokuskan masa untuk membina negara kita, janakan segala kekuatan untuk masyarakat kita, bukannya sibuk mengecam pihak ini & itu atas kesilapan teknikal.
"Jangan menang sorak, kampung tergadai. Ayuh sama-sama bergerak ke hadapan," katanya.