'Jangan main sentimen, tunjuk bukti kalau tak puas hati' - Amirudin

KUALA SELANGOR - Dakwaan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak adil disifatkan hanya mainan sentimen oleh segelintir pihak yang kecewa dengan keputusan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses pemilihan telah melalui audit menyeluruh termasuk pengundian semula di beberapa cabang membuktikan komitmen Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam menjamin keadilan dan ketelusan.

"Kempen baru bermula, kes telah dibuka, audit telah dibuat, malah JPP pun sudah adakan pemilihan semula di cabang yang terlibat dan ia bukti kita serius jaga integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan SJAM Pakej A dan C di Kolam Horas 600, Jalan Kawasan Loji Air, Bestari Jaya di sini pada Selasa.

Amirudin memberitahu, sebarang dakwaan ketidakadilan perlu disertakan bukti bukan sekadar hujah kosong atau emosi.

"Kalau ada bukti, tunjukkan dan bukan main sentimen atau cakap tak jelas. Kita dah cuba yang terbaik, tapi masih ada yang tak puas hati, tapi itu perkara biasa dalam politik,” ujarnya.

Amirudin menegaskan, PKR terbuka kepada penambahbaikan, namun tidak akan melayan tuduhan tanpa asas yang boleh menjejaskan imej parti.

"Saya percaya kita sudah cuba menjamin sebaik mungkin dan proses ini dilakukan dengan adil," kata beliau.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dalam siaran langsung audio siar ‘Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri?’ mendakwa Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa gagal mengendalikan pemilihan parti itu.

Menurutnya, beliau gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan berlaku kepincangan yang wujud di peringkat cabang dan menyatakan kebimbangan terhadap gelombang keahlian baharu selepas PKR menguasai Putrajaya.