SHAH ALAM - Pas Terengganu sepatutnya menyerahkan individu yang bertanggungjawab atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam poster promosi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu kepada pihak polis bukan sekadar memohon maaf.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, tindakan Pas yang hanya memohon maaf menunjukkan sikap tidak konsisten apatah lagi selepas Pemuda parti itu sebelum ini lantang mengkritik kesilapan serupa dalam akhbar bahasa Cina.
“Mereka menuntut tindakan tegas dan menyindir bahawa permohonan maaf bukan lesen untuk terlepas hukuman. Tetapi apabila kesilapan lebih serius melibatkan Pas tiba-tiba semua diam membisu.
“Kalau benar ikhlas mahu menegakkan semangat patriotisme, saya cabar Pas serahkan individu bertanggungjawab kepada polis untuk siasatan. Jangan hanya berani bersuara bila orang lain buat silap tetapi membisu bila kesalahan datang dari pihak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Wei Kiat menegaskan, Jalur Gemilang bukan milik mana-mana parti politik sebaliknya lambang kedaulatan negara.
“Kalau mereka sanggup bertindak keras terhadap pihak lain kononnya atas dasar cintakan negara, mengapa memilih jalan selamat apabila kesalahan berpunca daripada mereka sendiri?” ujarnya.
Sebelum ini, Pas Terengganu mengeluarkan poster promosi program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu yang dijadual berlangsung pada 29 hingga 31 Mei ini di Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Poster berkenaan memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo Pas di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Namun, warganet menegur paparan Jalur Gemilang yang salah, hanya mempunyai 11 bucu bintang kuning serta 12 jalur merah putih berselang-seli, sedangkan versi rasmi Jalur Gemilang mengandungi 14 bucu bintang dan 14 jalur mewakili 13 negeri serta Wilayah Persekutuan.
Susulan itu, Pas Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka, menyifatkan kesilapan tersebut sebagai teknikal dan tidak disengajakan, serta menarik balik penggunaan logo berkenaan.
Wei Kiat menyifatkan tindakan tersebut sebagai bukti hipokrasi politik yang hanya mempergunakan sentimen kaum dan agama untuk kepentingan tertentu.
“Ketika pihak lain melakukan kesilapan, mereka dihentam tanpa belas kasihan. Bila terkena batang hidung sendiri, senyap seribu bahasa.
“Negara ini perlukan politik matang, adil dan berprinsip bukan politik dua wajah. Cukup-cukuplah bermain sentimen, rakyat sudah muak dengan permainan hipokrit seperti ini,” tegasnya.