PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tampil menyanggah kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung dakwaan penolakan sokongan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Nurul Izzah tewas dalam pemilihan hujung bulan ini.
Menurut Saifuddin, kewujudan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah berpunca daripada insiden yang berlaku ke atas Anwar pada tahun 1998.
"Wujudnya parti ini disebabkan insiden yang berlaku ke atas tubuh badan Anwar," katanya menerusi sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Selasa.
Ujar beliau, tiada manusia lain melalui episod di tohmah, dimaki dan diaib seperti dilalui Anwar dalam tempoh 11 tahun menjalani hukuman pemenjaraan.
"Jadi saya tidak melihat bahawa tertolaknya Nurul Izzah maksud penolakan kepada Anwar.
"Ini adalah pertarungan antara saudara Rafizi dengan Nurul Izzah yang mana anggota parti sedang meneliti sebelum mereka buat keputusan," jelasnya.
Menyentuh mengenai gesaan Rafizi agar perwakilan memilih Nurul Izzah, Saifuddin menyifatkan ia adalah suatu keunikan dalam parti itu.
"Saya ikuti ucapan tersebut dan Rafizi memberikan asasnya di mana beliau masuk tetapi pada masa yang sama dia mengajak (pilih Nurul Izzah).
"Itu uniknya dalam Keadilan ini, saya lawan kamu, saya ajak perwakilan sokong kamu.
"Mana pernah berlaku dalam mana-mana parti politik lain kecuali PKR sahaja," katanya.
Tedahulu Rafizi dalam siri Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) berkata kekalahan Nurul Izzah boleh mencetuskan naratif atau polemik bahawa anggota parti menolak kepimpinan Anwar.
Justeru katanya tidak ada jalan lain melainkan perlu memenangkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai Timbalan Presiden yang baharu.