MCA patut bubar sertai DAP, bukan UMNO - Ahli Parlimen Kampar

KAMPAR – Parti MCA disaran membubarkan parti dan menyertai DAP sekiranya masih berhasrat memperjuangkan nilai majmuk, keadilan dan kemajuan sejati di negara ini.

Saranan itu dikemukakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, yang menyifatkan MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina.

Menurutnya, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan UMNO dibubarkan dan diserap ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA.

“MCA hari ini hanya tinggal dua kerusi Parlimen, itupun di kawasan majoriti Melayu. Mereka menang pun kerana undi penyokong UMNO. Hakikatnya, MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina.

“Saya menyeru MCA supaya menyerahkan kembali dua kerusi tersebut kepada UMNO dan mengambil langkah berani untuk membubarkan parti serta menyertai DAP demi masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zhemin berkata, MCA juga dilihat gagal memainkan peranan semak dan imbang dalam kerajaan serta kerap berdiam diri dalam isu-isu dasar dan perkauman.

Jelasnya, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu lebih banyak menyepi apabila berdepan kenyataan ekstrem, tetapi pantas menuduh DAP sebagai kabur pendirian semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.

“Lebih memalukan, mereka masih menyerang DAP tetapi hidup atas ihsan undi UMNO. Tiada prinsip, tiada maruah.

“Kalau dua kerusi itu pun hasil sokongan pengundi UMNO, kembalikanlah sebagai tanda hormat terhadap rakan gabungan,” katanya.

Beliau berkata, prestasi lemah MCA dalam tiga pilihan raya umum terdahulu menyaksikan kekalahan teruk parti itu serta keengganan ahlinya sendiri untuk memberi sokongan.

Tambahnya, DAP sebagai komponen kerajaan perpaduan akan terus memperjuangkan reformasi dan dasar adil untuk semua kaum serta terbuka kepada mana-mana pihak yang berkongsi nilai demokrasi majmuk.

“Politik bukan soal nostalgia atau sentimen, tetapi keberanian membuat keputusan berdasarkan realiti.

“Kalau MCA masih ada tanggungjawab kepada rakyat, keputusan paling wajar ialah membubarkan parti dan menyertai DAP,” katanya.