SHAH ALAM - Dakwaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mahu melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dan anggota Kabinet disifatkan sebagai sesuatu yang mustahil, meskipun ramai pemimpin yang rapat dengannya tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau yakin Rafizi bukan pemimpin yang mudah patah semangat atau beremosi hanya kerana kekalahan rakan-rakannya dalam pemilihan parti.
“Rafizi seorang yang rasional dan berprinsip. Justeru, saya yakin Rafizi tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa dan merugikan diri sendiri tanpa berfikir secara mendalam impaknya.
“Malah, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan bahawa Rafizi hanya bercuti panjang atas sebab tertentu dan ia langsung tidak menjejaskan jentera kerajaan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas dakwaan bahawa Rafizi bercuti panjang kerana merajuk dan kecewa dengan keputusan pemilihan peringkat cabang, Mohammad Fahmi menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.
“Saya melihat dakwaan kononnya Rafizi mahu letak jawatan hanyalah usaha pihak luar yang mahu menggugat kestabilan dan memecah-belahkan PKR.
“Jika datang daripada orang dalam, mungkin mereka tidak sehaluan dengan Rafizi atau cuba mencabarnya dalam pemilihan parti akan datang,” jelasnya.
Terdahulu, laporan media menyebut Rafizi didakwa menyuarakan hasrat untuk melepaskan jawatan dalam satu pertemuan bersama penyokongnya yang berlangsung selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu.
Bagaimanapun, sumber menafikan dakwaan kononnya beliau sudah mengosongkan pejabatnya.
Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily turut melaporkan bahawa Rafizi dikatakan tidak berpuas hati dengan sistem pemilihan parti yang didakwa tidak telus, justeru mencadangkan agar satu audit dilakukan oleh syarikat luar negara.
Difahamkan, hasil audit tersebut dijangka diketahui sekitar awal Mei.
Sebelum ini beberapa cabang PKR telah mengadakan pemilihan semula yang menyaksikan perubahan keputusan pada tiga jawatan ketua cabang iaitu Selayang di Selangor, Jempol di Negeri Sembilan dan Pasir Salak di Perak.
Tarikh pencalonan untuk MPP PKR juga telah dijadualkan semula dari 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei.
Menteri Ekonomi itu juga telah memohon cuti selama sebulan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Rafizi akan bercuti sehingga 31 Mei ini.
Anwar turut menjelaskan tiada isu berbangkit berhubung status Rafizi yang sedang bercuti panjang.
Sementara itu, Mohammad Fahmi mengakui keputusan awal pemilihan peringkat cabang PKR baru-baru ini agak mengecewakan.
“Atas sebab itu, ramai pemimpin termasuk saya sendiri telah mengemukakan bantahan dan meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengadakan undian semula,” ujarnya.
Untuk rekod, Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Petaling Jaya apabila hanya memperoleh 2,684 undi, manakala penyandangnya, Ahmad Akhir Pawan Chik mendapat 2,819 undi.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan dakwaan kononnya Rafizi mahu meletak jawatan.
“Tak benar (dakwaan itu),” katanya ringkas.