KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli digesa meletakkan jawatan susulan tindakannya mengambil cuti panjang yang dianggap tidak bertanggungjawab ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Afif Bahardin menyifatkan tindakan Rafizi bercuti sehingga hujung Mei tanpa sebarang penjelasan kepada rakyat sebagai mengecewakan dan mencemarkan kewibawaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara.
“Ketika rakyat dihimpit kos sara hidup, pelabur asing semakin ragu-ragu dan ekonomi global pula semakin mencabar, tindakan Menteri Ekonomi yang menghilang waktu krisis amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Afif turut mempersoalkan keperluan cuti tersebut yang hanya dijelaskan oleh Perdana Menteri tanpa sebarang penjelasan rasmi daripada Rafizi sendiri.
“Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada rakyat dan pelabur antarabangsa bahawa kepimpinan ekonomi negara boleh diremehkan?
“Atau kegagalan dalam pemilihan parti lebih penting daripada kesejahteraan negara?” soalnya.
Menurutnya, negara memerlukan Menteri Ekonomi yang stabil, efektif dan berjiwa rakyat bukan pemimpin yang menghilang ketika krisis serta lebih mementingkan urusan politik dalaman.
“Jika Rafizi tidak lagi mampu menunaikan amanah, beliau wajar meletakkan jawatan. Dan jika beliau terus enggan, Perdana Menteri mesti bertindak tegas memecat menteri yang gagal,” tegas beliau.
Rafizi ketika ini didakwa mengambil cuti panjang sehingga hujung bulan ini, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk berhubung pergeseran politik susulan keputusan pemilihan PKR yang sedang berlangsung.
Terdahulu, laporan media menyebut Rafizi didakwa menyuarakan hasrat untuk melepaskan jawatan dalam satu pertemuan bersama penyokongnya yang berlangsung selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu.