TAIPING – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyifatkan tindakan Pas yang dilihat cuba mendekati semula UMNO sebagai bukti bahawa parti itu berada dalam keadaan terdesak untuk kekal relevan.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, tindakan itu juga memperlihatkan Pas tidak konsistenan dalam pendirian politiknya.
Menurutnya, situasi terkini menunjukkan Perikatan Nasional (PN) semakin goyah apabila parti-parti komponen utamanya, khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak secara bersendirian untuk mencari kerjasama politik baharu.
“Keadaan ini jelas menunjukkan PN, terutama Pas sudah hilang keyakinan terhadap kekuatan sendiri. Sepatutnya kalau mahu menjalin kerjasama, ia perlu dilakukan secara seiring. Tetapi kini, Bersatu dengan pendekatan sendiri, Pas pula dengan caranya.
"Ini menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti itu sudah retak,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Meraikan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran Pusat Komuniti DUN Kamunting di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Asmuni turut mempersoalkan pendirian Pas yang sering berubah-ubah bergantung kepada keperluan politik semasa.
“Pas ini bila dia perlukan seseorang atau parti, dia akan kata perbezaan tidak banyak. Tapi pada masa sama, mereka pernah mengkafirkan DAP habis-habisan. Bila mahu bekerjasama dengan DAP, mereka gunakan pendekatan lembut, kononnya melalui tahalluf siyasi.
“Bila mahu bekerjasama dengan UMNO, mereka gunakan istilah taawun. Tapi bila tidak mahu lagi, mereka tukar pendirian. Ini bukan ciri parti yang berprinsip, tetapi parti yang terdesak dan tidak tentu arah,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sejarah politik Pas menunjukkan bahawa parti itu tidak pernah setia dalam mana-mana kerjasama yang dijalinkan sebelum ini.
“Daripada zaman Pakatan Rakyat lagi, Pas tidak pernah setia dengan rakan. Bila tidak sehaluan, mereka tinggalkan begitu sahaja.
“Kini mereka sedar bahawa pendekatan mengadu domba rakyat, memainkan isu kaum dan agama sudah tidak berkesan. Sebab itu mereka mencari rakan baharu untuk bersihkan imej,” katanya.
Asmuni turut menyatakan keyakinannya bahawa UMNO tidak akan mudah dipermainkan kerana mempunyai pertimbangan jelas dalam memilih rakan politik.
Pada Sabtu, media melaporkan bahawa Pas bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO, selagi tidak bercanggah dengan dasar parti.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kerjasama itu juga selaras dengan hasrat yang dinyatakan oleh Bersatu sebelum ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan menyatakan kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti Melayu itu berkongsi asas ideologi yang sama.