SHAH ALAM – Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan menyuarakan hasrat untuk berundur daripada jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya yang diadakan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu.
Bagaimanapun, sumber menolak dakwaan kononnya Rafizi telah mengosongkan pejabatnya.
Memetik laporan Sin Chew Daily, penyokong setianya memaklumkan bahawa tindakan Rafizi itu adalah susulan rasa tidak berpuas hati terhadap sistem pemilihan parti yang dianggap tidak adil.
Dalam laporan sama, sumber lain memberitahu bahawa hala tuju Rafizi akan lebih jelas sekitar awal Mei selepas sebuah syarikat audit luar negara mengaudit sistem pemilihan PKR dan mengemukakan laporan.
Katanya, Rafizi mencadangkan audit tersebut kepada Anwar berikutan suara tidak puas hati yang berterusan mengenai sistem pemilihan sedia ada.
Sebelum ini, beberapa cabang PKR telah mengadakan pemilihan semula yang menyaksikan perubahan keputusan bagi tiga jawatan ketua cabang, iaitu Selayang di Selangor, Jempol di Negeri Sembilan dan Pasir Salak di Perak.
Tarikh pencalonan untuk MPP PKR juga telah dijadualkan semula daripada 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei.
Menteri Ekonomi itu juga telah memohon cuti selama sebulan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Rafizi akan bercuti sehingga 31 Mei ini.
Anwar menjelaskan tiada isu berbangkit berhubung Rafizi yang sedang bercuti panjang.
Katanya, permohonan cuti berkenaan adalah perkara biasa bagi seorang pekerja dan beliau juga sedang mencari masa yang sesuai untuk bercuti.