Kor Ming cabar pembangkang bawa keluarga tinggal di flat usang

KUANTAN – “Saya nak jemput ahli Parlimen yang bantah, tolong bawa bini, anak kamu, duduk sana, bagi kamu rasa sendiri perasaan rakyat miskin bandar.”

Itu pelawaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada ahli Parlimen pembangkang yang masih membantah pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA).

Katanya, pihaknya bersedia menawarkan unit kosong termasuk pengecualian bayaran sewa kepada mereka jika sanggup tinggal di flat usang sekitar ibu negara.

Menurutnya, kementerian baru-baru ini telah membawa ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk melawat beberapa rumah flat dan salah satu lokasi yang mencuri perhatian kerana terdapat ular sawa di sekitarnya.

“Untuk pembangkang saya sudah jemput dua kali, keluarkan surat jemputan khas kepada ahli Parlimen pembangkang, mula-mula mereka janji nak hadir, tapi pada hari tersebut, mereka gagal hadir.

"Ponteng lagi, bukan saja ponteng Parlimen, bila kita nak bantu rakyat, dia pun ponteng juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sentuhan Kasih 3.0 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kampung Chempaka, di sini, pada Sabtu.

Ketika ditanya sama ada jemputan akan dihantar semula kepada wakil rakyat pembangkang bagi lawatan akan datang, beliau menegaskan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

“Jangan duduk di banglo sendiri saja, pergi duduk sana, bawa Datin Seri, Datin tinggal rumah flat usang baru tahu kenapa kita nak buat URA,” ujarnya.

Menyentuh isu kiosk dibina pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masih tidak digunakan walaupun sudah lama siap, beliau memaklumkan usaha menyelesaikan pengagihan sedang dilaksanakan oleh pihak berkaitan.

Ujar beliau, inisiatif ini bagi memperkasakan peniaga kecil, khususnya untuk 'menghalalkan' peniaga tanpa lesen.

“Kita akui memang ada kelemahan dan kita ambil langkah pembaikan, macam kiosk ini menggunakan teknologi hijau.

"Fasa pertama ada masalah apabila panel solar kiosk terbabit, bateri tak cukup kuat dan cuma boleh tahan empat jam saja.

“Jadi untuk fasa kedua, kita ada panel solar baharu, bateri yang lebih tahan lama dan masih dalam pembinaan,” katanya.

Selain itu, Kor Ming berkata, pihaknya telah mengarahkan Ketua Pengarah KPKT supaya mengambil tindakan segera, selain meminta pihak PBT memberikan jawapan terhadap kiosk yang masih tidak diagihkan.

“Seluruh negara ada 156 PBT, dan mereka yang uruskan bab pengagihan kiosk, kelulusan permohonan dan sebagainya,” katanya.