Ahli UMNO pilih kepentingan Melayu Islam boleh sertai Pas - Afnan Hamimi

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mana-mana ahli UMNO yang memilih bekerjasama atas nama kepentingan Melayu Islam boleh meninggalkan parti tersebut dan menyertai Pas.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Pas terbuka dan sedia menerima sesiapa sahaja selagi mana mereka menyokong dasar asas muafakat yang menjadi teras parti selama ini.

"UMNO ini ada dua kelompok iaitu ahli yang hendak kerjasama atas nama Melayu Islam dan mereka yang pilih DAP demi kepentingan kuasa.

"Jadi yang hendak kepentingan Melayu Islam itu, duduk dengan kita dan tinggallah UMNO," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut pada Sabtu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sebuah audio siar menyatakan bahawa Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.

Afnan Hamimi berkata, parti tersebut dan UMNO mempunyai asas ideologi yang sama dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Menurut Afnan Hamimi, agenda dan pendirian Pas tidak pernah berubah malah sering ditegaskan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kita pernah bekerjasama dengan UMNO pun sebelum ini, sekarang berpisah. Bersatu pun sebelum ini kita pernah berpisah dengannya, tidak pernah ada kerjasama, tapi sekarang ada kerjasama dengan Bersatu.

“Jadi, sebarang kemungkinan itu boleh berlaku. Asas kepada politik ini ialah muafakat, dan sudah tentu bagi parti yang berteraskan agama seperti Pas keutamaan Islam itu berada di hadapan dan kemudian bangsa Melayu yang menjadi majoriti di Malaysia ini.

"Jadi, itu asas kepada permuafakatan politik yang hendak dibina dengan sesiapa pun. Pas menerima dan terbuka (bekerjasama),” ujarnya.