JEMPOL – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dibincangkan secara mendalam menerusi biro politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
"Ia merupakan isu kompleks yang perlu diberikan penelitian sebelum diputuskan. Sebab itu saya tak nak beri kenyataan begitu sahaja.
"Perkara ini perlu diputuskan selepas perbincangan dalam biro politik dan pimpinan tertinggi pusat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN)," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat Penyelaras Bersatu DUN Jeram Padang pada Sabtu.
Majlis tersebut turut disekalikan dengan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersatu Jempol.
**media[3109952]**
Muhyiddin berkata, walaupun secara prinsip Bersatu bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai aspirasi perjuangan yang selari dan tidak bertentangan dengan dasar utama parti, terdapat beberapa aspek lain yang perlu diberikan perhatian.
"Tapi saya tak ada sebut mana-mana parti. Saya ajak mari duduk berbincang dan melihat situasi dalam negara bagaimana untuk maju ke depan.
"Kita pun sudah ada pengalaman kerjasama yang lepas jadi ini akan dibincangkan secara mendalam dalam PN," katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan pihak tertentu agar Bersatu dibubarkan dan menyertai UMNO, beliau berkata, Bersatu akan terus bergerak sebagai sebuah pertubuhan politik sah dan berdiri dengan prinsip diperjuangkan.
"Bersatu bukan UMNO dan kedua Bersatu adalah parti berdaftar. Kalau diikutkan jumlah Ahli Parlimen Bersatu dan ADUN juga ramai termasuk di bawah Perikatan Nasional.
"Ini bukti bahawa kita akan terus hidup sebagai sebuah parti sah dan kekal dengan prinsip diperjuangkan," katanya.