Pemilihan PKR: MPP belum terima rayuan rasmi

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR belum menerima sebarang rayuan rasmi daripada ahli parti yang tewas dalam pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, dalam sidang media di sini pada Rabu.

“Sebagai sebahagian daripada proses, rayuan akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang kemudiannya akan membentangkan perkara itu kepada Majlis Pimpinan Pusat.

“Setakat ini, MPP belum menerima sebarang laporan secara rasmi. Maka, kita perlu tunggu mesyuarat (petang ini),” katanya.

Terdahulu, pemilihan peringkat cabang baru-baru ini menyaksikan beberapa tokoh besar kecundang.

Antaranya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswati; Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Rodziah Ismail.

Mereka yang tidak berpuas hati dijangka menghantar bantahan kepada JPP.