TAPAH - Biarpun berdepan jadual yang padat, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir tetap mencuri masa melakukan senaman ringan bagi menjaga stamina sepanjang tempoh berkempen.
Menurut Mohamad Yusri, beliau mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya melakukan aktiviti berjalan di sekitar kediaman sendiri setiap kali sebelum memulakan gerak kempen.
"Kita bersenamlah sikit, berjalan, tetapi tidaklah macam selalu kerana masa terlalu singkat.
"Aktiviti kempen bermula seawal subuh hinggalah tengah malam. Ada masa tertentu itu (semasa berkempen), saya rehatlah sekejap untuk kembalikan kecergasan dan menjaga kesihatan," katanya.
**media[3091166]**
Mohamad Yusri berkata, sejak pengumuman calon dibuat lagi, beliau telah melakukan persediaan mental dan fizikal agar perjalanan kempen berjalan lancar.
"Tahap stamina dan kecergasan itu penting bagi memastikan kita boleh berkempen terus, insya-ALLAH sampailah hari pengundian," katanya.
Terdahulu, beliau ditemui menyantuni komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kurong Dalam di sini pada Jumaat.
Mohamad Yusri berkata, sokongan diberikan pengundi Orang Asli yang begitu positif memberi keyakinan kepadanya dalam pemilihan 26 April ini.
"Secara peribadi saya juga sebelum ini sudah biasa pergi ke perkampungan Orang Asli untuk berinteraksi dan sebagainya. Jadi tiada masalah dengan suasana kempen ini," katanya.
Bekas guru dan pensyarah berusia 54 tahun itu menjadi sandaran BN untuk mengekalkan kerusi di DUN Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, daripada BN pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).