Azan, Ahmad Nazri kekal terajui cabang PKR Kuala Terengganu, Kemaman

KUALA TERENGGANU - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu, Azan Ismail berjaya mempertahankan jawatannya selepas memperoleh 363 undi dalam pemilihan parti yang berlangsung pada Jumaat.

Azan, 59, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR negeri menewaskan dua pencabarnya iaitu Ahmad Yani Hashim yang meraih 175 undi dan Wan Muhammad Haikal Wan Ghazali dengan 52 undi.

Beliau sebelum ini telah memegang jawatan tersebut sejak tahun 2022.

Sementara itu, Pengerusi PKR Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusof turut mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Cabang PKR Kemaman.

Beliau meraih 383 undi menewaskan tiga pencabar, Amir Hamzah Ghazali (370 undi), Hasuni Sudin (244 undi) dan Saikri Ngah@Choh (92 undi).

Pemilihan yang berlangsung pada Jumaat menyaksikan sebanyak 81 peratus daripada 7,685 ahli PKR di Terengganu menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan parti masing-masing.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam masa terdekat.