AMK Melaka sokong Adam Adli tanding MPP

MELAKA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka memberi sokongan penuh terhadap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pemilihan akan datang.

Ketuanya, Ridhuan Abu Samah berkata, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dilihat sebagai simbol kepimpinan muda yang berani dan konsisten dalam memperjuangkan parti serta rakyat.

Menurutnya, kredibiliti dan daya kepimpinan yang ada pada Ketua AMK itu mampu memperkukuh hala tuju parti ke arah yang lebih dinamik dan progresif.

“Kami menyokong penuh hasrat YB Adam Adli untuk bertanding sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat Keadilan kerana beliau merupakan pemimpin muda masa depan PKR.

“Sekali gus membawa pembaharuan dalam parti,” katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Penerangan AMK Melaka, Irfan Rafee turut menyatakan sokongan yang sama dan yakin individu tersebut mampu membawa perspektif baharu serta menyuntik semangat perubahan yang diperlukan dalam MPP.

“Kejayaannya ketika mengemudi kepimpinan AMK Malaysia adalah bukti keupayaannya dalam membawa parti ke arah lebih progresif dan relevan.

“Beliau adalah calon terbaik untuk memastikan PKR terus maju dan kekal relevan dalam membawa agenda reformasi negara,” katanya.

Media pada Sabtu lalu melaporkan Adam Adli mengesahkan hasratnya untuk bertanding kerusi MPP pada pemilihan parti berkenaan yang dijadualkan pada Mei depan.

Beliau berkata, hasrat itu adalah sebagai salah satu cara untuk beliau terus menyumbang jasa dalam parti.