Sanusi pula cabar UMNO putus hubungan dengan DAP

ALOR SETAR – Pas mencabar UMNO agar memutuskan hubungan dengan DAP sekiranya parti itu benar-benar ikhlas mahu kembali ke landasan perjuangan asalnya sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu merupakan perkara asas yang perlu dilakukan oleh UMNO bagi membuktikan parti tersebut masih relevan.

“Apa kata Pas cabar UMNO putus hubungan dengan DAP? Itu adalah tindakan paling asas untuk UMNO kembali ke landasan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap cabaran yang dilontarkan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah, yang mencabar Pas supaya meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pada Sabtu, Mohd Hairi membuat cabaran tersebut selepas dua percubaan Pas dalam PRK sebelum ini berakhir dengan kekalahan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menegaskan bahawa sekiranya Pemuda Pas benar-benar yakin dengan sokongan pengundi Perikatan Nasional (PN), mereka seharusnya berani menampilkan calon muda sebagai bukti keupayaan untuk menang.

Namun, Muhammad Sanusi menempelak cabaran itu dengan menyifatkannya sebagai kebudak-budakan.

“Ikut suka Pas lah nak letak siapa sebagai calon di DUN Ayer Kuning, terpulang kepada Pas untuk tentukan, perkara seperti ini pun nak dijadikan cabaran,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut mengingatkan UMNO agar tidak terus ‘dibuaikan’ dengan kerjasama bersama DAP, terutama dalam kalangan Pemuda UMNO yang dilihat semakin larut dalam agenda parti tersebut.

“Mereka semakin hanyut dalam agenda DAP yang berusaha mengikis kuasa politik Melayu. Jangan hanya menurut telunjuk pemimpin mereka yang ingin menyelamatkan diri sendiri sehingga menggadaikan perjuangan generasi UMNO terdahulu.

“Saya berasa ingin menghadiahkan kain batik bercorak roket kepada Pemuda UMNO,” katanya secara sinis.