SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin membidas dakwaan dan sindiran segelintir pengguna media sosial yang mengatakan kerajaan melupakan janji-janji sewaktu berada di kerusi pembangkang suatu ketika dahulu.
Beliau berkata, kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu keperluan untuk membuat sesuatu perubahan sama ada dalam konteks dasar mahupun kepimpinan kerana ia mengambil masa lama.
"Saya melihat kerajaan bukan janji, kadang-kadang perubahan yang ingin dibuat mengambil masa. Tak bolehlah nak laksana serta-merta macam hari ini kita menang, esok terus tukar (dasar dan kepimpinan).
"Katakanlah masuk pejabat baharu terus pecat semua pekerja, tidaklah begitu. Contohnya, kita lihat dahulu dari segi situasi kewangan, pemasaran dan operasi perniagaannya macam mana, kita ubah sedikit sebelum ambil tindakan lanjut.
"Semuanya ada proses, maksudnya perubahan itu mengambil masa sedikit demi sedikit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Interviu bertajuk 'Kerajaan Perlu Buktikan RUU PSB Tidak Jejaskan Rakyat' yang dihoskan oleh Haizir Othman secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.
Pada 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan ketua pembangkang ketika itu dilaporkan mengkritik cadangan kerajaan untuk 'bailout' atau menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB) berikutan dikelilingi hutang.
Beliau turut memaklumkan, sebarang perbincangan mengenai kaedah menyelamatkan syarikat penyedia perkhidmatan kritikal bagi industri minyak dan gas (O&G) itu hanya boleh dilakukan selepas pelaksanaan audit forensik.
Bagaimanapun, kerajaan ketika ini memberikan pinjaman pelaburan RM1.1 bilion kepada SEB oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) iaitu syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Pinjaman itu diberi supaya SEB melunaskan bayaran vendor tempatan, melangsaikan hutang-piutang, meneruskan operasi perniagaan, membayar pekerja dan lain-lain, tetapi ia wajib dipulangkan kepada kerajaan apabila bisnes kembali stabil.