SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman secara sinis mengkritik keputusan kerajaan meluluskan suntikan dana kepada Sapura Energy Bhd (SEB) melalui tulisan puisinya.
Mohd Syahir berkata, dana itu dinamakan sebagai pelaburan strategik bagi membezakan pendekatan lama yang dikatakan jijik.
Menurutnya, naratif korporat perlu diselamatkan dalam apa jua kaedah menyebabkan DAP diam seribu bahasa dan Menteri Ekonomi hilang tanpa bicara.
"Jika dahulu menentang ‘crony-capitalism’, segala bentuk 'bailout' dikatakan kotor namun hari ini DAP dan PKR diam membisu. Jika dahulu suntikan dana awam untuk menyelamatkan korporat adalah buruk serta wajar ditolak namun hari ini menteri diam tanda setuju.
"Segalanya berubah demi pangkat, gelaran dan kerusi empuk di Putrajaya. Hilang sudah laungan sakau laungan hoi hoi ya hoi dan digantikan dengan siasatan serta pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) terpilih.
"Indah khabar dari rupa, bak kata orang muda 'order' lain, dapat lain," ujarnya pada Sabtu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.
Beliau menjelaskan, suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat apabila mendapat keuntungan, akan memulangkan semula dana berkenaan.
Tambah Mohd Syahir, sejumlah RM1.1 bilion dana awam disalurkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
Beliau secara sini memberitahu, syarikat korporat sangat beruntung kerana dapat membuat pinjaman dengan kerajaan berhati baik dan yang lain boleh beratur untuk dapatkan pakej terbaik.
"Jika tidak diselamatkan, korporat tidak mampu bayar hutang vendor tempatan dan turut terjejas seluruh ekosistem industri minyak dan gas (O&G) tempatan.
"Tujuannya murni bagi membolehkan korporat membayar hutang, bukan membayar kroni.
"Mengapa dana awam dilibatkan? Kerana pemegang saham terbesar tiada kemampuan, bank pula tiada yang sudi berikan pinjaman," ujarnya.