Mantan ADUN empat penggal pilih calon Pemuda isi PRK Ayer Kuning

IPOH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan meyakini kepimpinan Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selama empat penggal sejak 2004 itu berkata, semangat memimpin dan kebolehan berinteraksi dengan golongan belia dan pengundi baharu dapat memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat di DUN Ayer Kuning.

“Saya setuju dengan calon dari generasi muda. Saya dulu pun mula menjadi wakil rakyat ketika usia 44 tahun.

"Tambahan pula, calon muda memberi kelebihan dalam menawan hati generasi baharu yang menjadi penentu keputusan pilihan raya," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, PRK kali ini bukan sekadar pemilihan wakil rakyat baharu, tetapi ujian kepada strategi dan hala tuju parti dalam memastikan kekuatan mereka terus relevan di peringkat negeri dan nasional.

"Kriteria calon adalah penting untuk mengekalkan kemenangan BN di kerusi tersebut yang mana calon perlulah mempunyai kelebihan memahami suasana dan keadaan penduduk.

"Komposisi kaum pengundi di DUN Ayer Kuning hampir sama antara Melayu, Cina dan India, membuatkan keperibadian calon menjadi faktor utama dalam menarik sokongan.

"Dalam hal ini, kita tidak perlukan calon yang terlalu ‘canggih’, tetapi calon berwibawa yang benar-benar tahu keadaan penduduk di sini, seseorang yang boleh bawa diri dengan semua peringkat termasuk orang-orang lama. Itu penting,” katanya.

Pada Selasa, Pemuda UMNO menyerahkan nama calon tunggal bagi mewakili BN pada PRK DUN Ayer Kuning bulan depan dan antara nama yang disebut sebagai pilihan ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi, 42.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning (N48) berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), Perikatan Nasional (PN) (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).