MoU peruntukan ahli Parlimen pembangkang bersifat mengekang, koersif - Tun Faisal

SHAH ALAM - Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang disifatkan sebagai mengekang, kompulsif dan koersif.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, usaha tersebut juga dilihat tidak mencerminkan transformasi dan reformasi.

"Peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang tidak sepatutnya bergantung kepada sebarang perjanjian atau MoU kerana kerajaan campuran PH ini bukan kerajaan minoriti atau kerajaan dengan majoriti tipis.

"Malah janji ini telah terkandung dalam manifesto Perdana Menteri dan partinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Peruntukan ini harus diberikan secara telus dan saksama tanpa syarat yang membebankan atau bertentangan dengan prinsip demokrasi, serta tanpa sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara ahli Parlimen pembangkang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri menempelak Pengerusi Pakatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung syarat MoU berkenaan yang dikatakan terlalu ketat dan tidak adil.

Katanya, ruang perbincangan antara kerajaan dan pembangkang berhubung perkara itu sentiasa terbuka.

Mengulas lanjut Tun Faisal berkata, pemberian peruntukan secara sama rata tanpa sebarang MoU pernah dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ketika itu.

"Semua ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang diberikan peruntukan sama rata sebanyak RM300,000 bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing tanpa sebarang rundingan, syarat yang mengarut atau MoU.

"Ketika ini, kerajaan negeri di bawah PN juga jauh mendahului Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan PH apabila memberikan peruntukan secara sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tanpa sebarang MoU atau syarat yang membebankan,"katanya.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan tidak ada keperluan untuk ahli parlimen pembangkang mengisytiharkan harta kerana secara prinsipnya, sesiapa yang berada dalam kerajaan wajib mengisytiharkan harta.

"Ini adalah amalan biasa dalam kerajaan sebelum ini, baik di bawah Barisan Nasional (BN) atau PN," katanya.