KUALA LUMPUR - MIC menyatakan keyakinan BN akan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dan memperoleh majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman dan hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
“Kami telah turun padang dan berjumpa pengundi di kawasan perumahan serta menghulurkan bantuan yang diperlukan.
“Ini bukan dilakukan semata-mata kerana PRK, tetapi hubungan erat yang telah lama terjalin dengan pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah bagaimanapun tidak memandang rendah keupayaan parti lawan kerana masing-masing bertanding di padang sama rata.
"Saya tidak memandang rendah parti lawan, khususnya Pas di Tapah, tetapi kita mempunyai kekuatan tersendiri.
“Dengan sokongan padu rakyat, saya yakin kita akan memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar dalam PRK ini," katanya.
Ditanya mengenai pemilihan calon, Saravanan menyatakan keputusan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti.
“Saya akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi. Seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai senarai pendek calon telah dibuat.
“Saya sokong sepenuhnya sesiapa sahaja yang dipilih,” katanya.